Kembara

Krabi Sedang Menangis

Pada 1 September 2017, sekali lagi saya berpeluang ke bumi Krabi, Thailand. Ini adalah kali kedua saya kesini. Bukan kerana pantai dan pulaunya yang indah yang mendapat pengiktirafan kerajaan Thai antara 7 tempat tercantik di Thailand, tetapi kerana rintihan saudara seagama yang memerlukan pertolongan.
Saya pergi bersama kumpulan amal SUPERFRENDS. Bersempena hari raya haji, kami membawa amanah penyumbang dari Malaysia yang ingin melaksanakan qurban di Krabi. Selain itu, kami mengadakan program yang biasa, iaitu agihan bantuan barang dapur kepada yang susah dan penduduk kampung.
Memang mencabar juga untuk mendapatkan sumbangan korban di Krabi, kerana anggapan orang ramai Krabi tempat perlancongan dan pastilah orang-orang di sana senang-senang belaka. Apa yang hendak dibantu?
Kenyataannya, kita dikaburi dengan populariti aspek pelancongan sahaja. Di kampung pendalaman, terutama di kampung orang Islam, segalanya berbeza.
Wilayah Krabi mempunyai keluasan 4,708.5km2 dan masyarakat Muslim di Krabi merangkumi hampir 80% kependudukan. Budaya barat yang menghiasi pantai Krabi telah menenggelamkan syiar Islam di situ. Mereka semakin jauh dengan roh agama, di tambah pula dengan himpitan kemiskinan masyarakat pendalaman. Tanpa ada badan zakat yang dapat membantu sebagaimana kita di Malaysia, lagi memburukkan nasib orang miskin disana. Harus diingat, Thailand bukan negara Islam jadi tentu tidak sama dengan kemudahan yang warga Malaysia lalui.
Sistem pendidikan agamanya pula ketandusan guru-guru yang dapat menyebarkan ilmu. Begitulah keadaan sebenar di sebalik kecantikan pantai dan pulau indah di Krabi, roh agama Islam semakin hilang. BUMI KRABI SEDANG MENANGIS.
Sasaran Kak Kusyi (founder SUPERFRENDS) untuk mengumpulkan sebanyak 21 bahagian iaitu 3 ekor lembu Alhamdulillah tercapai. Satu ekor di Kampung Tuntut dan dua ekor lagi di Sekolah Anuban Wangthong. Di samping itu juga kami ada mengumpulkan telekung, kain pelekat, serta wang sumbangan untuk membeli beras dan keperluan dapur untuk asnaf dan orang miskin Krabi. Kami bukan sekadar mengedarkan kepada orang susah tetapi kepada penduduk kampung sebagai dakwah sesama Islam. Supaya mereka tahu, ada yang endah pada nasib sesama saudara Islam.
Seramai 10 orang sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program kali ini iaitu Kusyi Hirdan, Zul Haron, Cik Kham, Ku Yan, Puteri Syahirah, Khairul Anuar, Awi, Fitri, Haji Muhammad, Amir.
Berikut adalah kronologi program kami disana.
Hari 1 (Jumaat) :
1. Sebaik mendarat dan mendapatkan kenderaan, kami bergegas ke Makro untuk memberi barang2 yang akan diagihkan. 100 set barang dapur (beras dan barang dapur) termasuk bedak wangi.
2. Selesai itu, kembali ke hotel penginapan, kami packing segala barang hotel (100 set barang dapur, 100++ telekung, 70++ tudung, 60 ++ kain pelikat, bedak) dan mengangkatnya ke dalam kereta.
Hari 2 (Sabtu):
Di kampung Tuntut
1. Agihan barang dapur pada 22 asnaf
2. Agihan barang dapur, telekung dan kain pelikat pada 72 orang kampung
3. Agihan duit belanja sekolah dan bedak kpd 9 budak2 miskin yg bersekolah, yang tak bersekolah kami beri bedak sahaja.
4. Qurban seekor lembu dan agihan daging kpd 53 orang miskin
5. Program menyemak bacaan al fatihah dengan 39 orang kampung
Nota : Orang kampung meraikan kami… sungguh tersentuh. Duduk sahaja, datang kuih muih, ada ketupat, dan homemade kopi. Semua Superfrends kata sedap ya amat. Ini pertama kali mereka menerima tetamu seperti kita. Ada yang memeluk dan menangis pada waktu bersalam untuk pulang.
6. Malam: mesyuarat antara pihak Yayasan Takmir dan sekolah Wangthong (Ustaz Imran dan dan Rushdy) membincangkan kerjasama yang boleh di buat bersama. Wakil Superfrends sebagai saksi.
Hari 3 (Ahad):
Program di pusat pemulihan dadah Islamik, Anharul U Loom di Pulau Koh Klang.
1. Sesi berkenalan dan bertanya soalan dengan pengasasnya Baba Abdul Razak.
2. Lawatan ke seluruh pusat.
3. Program menyemak bacaam surah al fatihah bersama 37 pelatihnya.
4. Sesi lawatan di sekolah menengah wittaya Wangthong. Ustaz Imran membawa volunteer baru dan juga rombongan Yayasan Takmir melawat kawasan sekolah.
Nota : MasyaAllah, ketika di pusat pemulihan dadah islamik, ada pelatih yang berkali-kali menyuruh volunteer kami mendengarnya membaca al Fatihah. Dia mahu belajar dan belajar.
Hari 4 (Isnin) :
Program di sekolah rendah Anuban Wangthong:
1. Sembelih 2 ekor qurban, diikuti dengan pelajar dan orang2 kampung memasak untuk kenduri menjamu 600 orang (pelajar dan orang kampung)
2. Agihan daging qurban kepada orang susuah dan orang kampung
3. Program menyemak bacaan surah al fatihah dengan 74 pelajar anuban
4. Program rasmi bersama ketua kampung dan wakil kerajaan, agihan barang dapur kpd 10 asnaf
5. Agihan barang dapur, telekung dan kain pelikat kepada 23 orang kampung
6. Agihan bedak kepada 132 pelajar
7. Agihan beras dan barang dapur kepada 16 guru
8. Street dakwah jalanan, agihan telekung, kain pelikat, tudung kpd lebih kurang 89 penerima
Nota : Hari ini, semua volunteer Superfrends berbaju kurung dan berbaju melayu lengkap bersampin.
Jadual memang penuh dan memenatkan. Volunteer Superfrends hanya dapat duduk rehat waktu makan juadah kenduri, (yang amat sedap itu). Kami semua seronok sangat dapat makan kenduri bersama-sama. Terkenang-kenang kesedapannya. Selain dari itu boleh dikatakan volunteer Superfrends sentiasa bergerak dan bekerja. Sampai Awi mengatakan satu badannya basah dengan peluh. Baru nak duduk sekejap dah dipanggil untuk agenda seterusnya. Tapi alhamdulilah, semuanya masih steady. Sampai habis kekal dengan baju melayu.
Hari ke 5 (Selasa):
Balik ke Malaysia, penerbangan jam 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *